Doula: Penerangan yang penuh tatatertib

7:23 AM

Doula, doula, doula.

Benda apa doula ni?

Kenapa ramai sangat doktor meroyan disebabkan doula ni?

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan hangat yang diperbincangkan di media sosial, kami sertakan sedikit ringkasan berkenaan issue ini.

Pada 5 Februari 2018 lalu, Pseudoscience Watch , sebuah laman Facebook, telah memuat naik suatu artikel berkenaan kematian seorang bayi di Selatan Tanah Air. Menurut artikel tersebut, seorang ibu mengandung yang berisiko tinggi (high risk pregnancy) telah cuba untuk bersalin di rumah melalui perkhidmatan doula, atau peneman ibu bersalin.

Screenshot artikel asal dari Pseudoscience Watch

Walaubagaimanapun, komplikasi telah berlaku dimana bayi tersebut telah lemas akibat kelahiran songsang (breech pregnancy), di mana kaki bayi dilahirkan dahulu manakala kepala masih tersekat di dalam rahim (footling breech). Akibat tempoh bersalin yang terlalu lama, bayi telah lemas dan tidak dapat diselamatkan. Menurut artikel tersebut, ibu pada mulanya telah diberi nasihat dan bantuan daripada seorang doula melalui telefon. Apabila doula tiba ditempat kejadian, bayi telah lemas dan tidak diselamatkan lagi.

Imej dari web County Durham and Darlington NHS Foundation Trust
Imej kedudukan bayi songsang
Difahamkan ibu selamat dirawat setelah ambulans mengejarkannya ke hospital untuk rawatan intensif. Bayi yang dikandung badan selama lebih 9 bulan, tidak berpeluang menemui ibunya akibat kelewatan mendapat bantuan perubatan. Rata - rata netizen, terutamanya dari latar belakang perubatan telah menyalahkan doula tersebut.

Apakah peranan doula dalam fiasco ini sehingga begitu ramai pengamal perubatan mengecam tindakan doula tersebut? Pertama sekali, mari kita fahami istilah doula.

DEFINISI

Doula dalam bahasa Greek membawa erti “hamba wanita” (female slave). Penterjemahan secara terus ini (direct translation) bunyi sedikit kasar. Takkan la doula ini hamba orang. Mana ada hamba dalam dunia yang sekian moden ini?! Istilah yang lebih sesuai dan “politically correct” adalah peneman wanita. Dalam konteks perbincangan kali ini, doula membawa maksud peneman ibu bersalin.

Menurut rujukan di dalam WebMD, doula adalah seseorang yang memberi sokongan emosi dan fizikal untuk ibu mengandung. Skop perkhidmatan yang ditawarkan doula adalah dari saat ibu mengandung, semasa bersalin hingga ke tempoh pantang (antepartum, intrapartum, postpartum). 

Walaubagaimanapun, doula bukan seorang bidan terlatih mahupun seseorang pengamal perubatan yang bertauliah. Doula tidak terlibat secara langsung dalam apa - apa keputusan yang melibatkan kesihatan bayi dan ibu ketika mengandung dan bersalin.

Semasa tempoh trimester ketiga kandungan, iaitu tempoh mengandung tujuh bulan dan keatas, doula akan akan mengajar bakal ibu cara - cara untuk menenangkan diri sewaktu bersalin. Teknik pernafasan yang betul serta kawalan emosi akan ditekankan oleh doula ketika ini. Doula juga akan membimbing bakal ibu untuk memahami proses kelahiran dan komplikasi yang boleh berlaku. Bimbingan ini akan diberikan dari semasa ke semasa dalam beberapa sesi.

Ketika bersalin pula, doula akan sentiasa berada disisi bakal ibu untuk memberi kata - kata semangat ketika proses bersalin. Teknik pernafasan akan ditekankan semula. Doula juga akan membantu mengurangkan kesakitan ketika bersalin melalui teknik mengurut. Objektif utama doula ketika fasa ini adalah untuk memastikan bakal ibu selesa dan tenang.

Sewaktu fasa lepas bersalin (post partum), khidmat doula diteruskan untuk si ibu. Doula akan mengajar ibu bapa cara - cara untuk menjaga bayi dengan baik serta memberikan tips -tips untuk penyusuan bayi yang optimum.

APA BEZA DOULA DENGAN BIDAN?

Perbezaan paling ketara antara dua bidang ini adalah, bidan terlatih adalah seorang pengamal perubatan yang diiktiraf melalui Akta Perbidanan 1966 (Midwives Act 1966). Profesi perbidanan dikawal selia oleh Lembaga Bidan Malaysia. Kaedah latihan dan etika perbidanan dipantau dengan ketat oleh agensi ini. Manakala profesi doula tidak dipantau oleh mana - mana badan berkanun.
Macam terlalu teknikal la pula penerangan diatas kan? Meh kami permudahkan sikit supaya senang nak faham.

DOULA:

Orang awam yang dilatih melalui kursus - kursus pendek mengenai cara - cara untuk memberi sokongan kepada wanita mengandung; sewaktu mengandung, ketika bersalin dan ketika tempoh berpantang. Skop perkhidmatan terbatas kepada sokongan emosi dan fizikal sahaja. Doula tidak boleh sama sekali terlibat dalam apa - apa keputusan perubatan.

BIDAN:

Bidan adalah jururawat terlatih yang mempunyai asas ilmu kesihatan yang kukuh. Untuk diiktiraf sebagai seorang bidan terlatih, jururawat harus mengambil kursus jurusan (post basic) perbidanan untuk mahir dalam segala ilmu berkenaan kesihatan wanita mengandung. Bidan terlatih terlibat secara langsung dalam segala rawatan perubatan ke atas wanita mengandung. Mereka juga berkepakaran untuk menyambut kelahiran bagi kandungan risiko rendah. Melalui latihan intensif yang dilalui, bidan mampu menilai situasi - situasi yang boleh membahayakan wanita mengandung serta kandungannya dan membuat keputusan untuk merujuk ke pusat kesihatan yang terdekat.

Kesimpulannya, dalam situasi kecemasan, bidan lebih tahu apa yang perlu dilakukan berbanding Doula. Sekurang - kurangnya, bidan tahu asas bantuan perubatan yang harus dilakukan sebelum pesakit dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dah faham serba sedikit berkenaan doula?

Tapi, ada suatu persoalan yang asyik berlegar dalam minda kami. Adakah semua doula, wanita sahaja? Takde ke doula lelaki? Kalau lelaki, namanya doula juga ke?

Sudah tentu bukan Doula, tetapi dOUllah!

 

KENAPA DOKTOR NAK SENTAP?

OK, apa yang kita faham setakat ini?
  1. Doula hanya meneman wanita mengandung untuk memberi sokongan ketika mengandung dan bersalin.
  2. Doula tidak menggantikan fungsi jururawat, doktor dan doktor pakar.
  3. Doula lelaki dipanggil Doullah. (krik...krik...krik).
Secara realiti, ada sesetengah doula telah ‘terlebih buat kerja’. Walaupun seseorang doula tidak sepatutnya memberi nasihat perubatan, mereka telah mempromosikan kaedah ‘homebirth’ kepada wanita - wanita mengandung atas alasan, bersalin di rumah adalah lebih alami dan kurang  tekanan. 

Tindakan mempromosi kaedah bersalin di rumah atau ‘homebirth’ tanpa pemantaun daripada mana - mana pengamal perubatan terlatih, boleh menyebabkan komplikasi yang boleh membawa maut kepada bayi dan ibu mengandung. Dalam insiden yang dikupas oleh laman Pseudoscience Watch, ibu yang mengandung didapati telah terlebih waktu bersalin (post date) dan mengalami kelahiran songsang. Kes begini dianggap sebagai kelahiran berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan rapi di hospital.

Doula yang terpesong ini juga telah memomokkan ibu- ibu ini dengan doktrin perawat - perawat di bilik bedah hospital adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan. Boleh baca kenyataan rasmi daripada Hospital Shah Alam berkenaan tuduhan yang tidak berasas oleh seorang doula.

Kenyataan daripada pihak Hospital Shah Alam berkenaan tuduhan tidak berasas dari seorang doula.

Bagi doula ini, KESELESAAN ibu sewaktu mengandung lebih diutamakan berbanding KESELAMATAN ibu mengandung. Nyawa tidak penting. Asalkan selesa sewaktu bersalin, tak mengapa. Ia terpesong jauh daripada prinsip utama seorang doktor perubatan iaitu memastikan nyawa pesakit diutamakan.

Rentetan daripada isu viral ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah tampil membuat kenyataan rasmi supaya tindakan diambil keatas doula yang terlibat dalam kes kematian bayi baru - baru ini. Antara NGO yang mengeluarkan kenyataan adalah:
  1. Medical Mythbusters Malaysia (M3
  2. Islamic Medical Association Malaysia (IMAM)
  3. Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)
  4. Malaysian FMS Association (Pakar Perubatan Keluarga)
Malah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menghuraikan hukum menggunakan khidmat doula. (boleh baca disini: http://muftiwp.gov.my/ms/bayan-linnas-cat/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula).
Sekarang anda faham mengapa ramai pengamal perubatan yang meroyan akibat insiden ini. Kita tunggu perkembangan seterusnya selepas ini. 


You Might Also Like

0 comments

Follow Me on Facebook