JANGAN TIPU PESAKIT DIABETES

8:26 AM

HENTIKAN TINDAKAN MENAKUTKAN PESAKIT...hanya untuk melariskan produk bogus anda.



1. PENYAKIT KRONIK

Penyakit kencing manis adalah penyakit kronik. Ya, memang betul. Tapi, kronik bukannya maksudnya ia penyakit yang teruk. Kita selalu dengar orang Melayu cakap -

"Mak oiii.... tahap kronik dah sakit ni. Boleh mati esok!"

Tanggapan ini SALAH sama sekali. Kronik dalam istilah perubatan bererti penyakit yang berlarutan. Kata kunci (keyword) di sini adalah TEMPOH. Akut (acute) merujuk kepada tempoh yang singkat, manakala kronik (chronic) merujuk kepada tempoh yang lama. Ia TIDAK LANGSUNG merujuk kepada keterukan (severity) sesuatu penyakit. Cuba fahami setiap istilah yang digunakan. Bila kita faham, lebih sukar untuk kita ditipu.

2. KOMPLIKASI

Perkara yang paling merisaukan penghidap kencing manis adalah komplikasi penyakit. Antara komplikasi yang paling digeruni adalah KENA POTONG KAKI.

Kencing manis dan potong kaki berpisah tiada...itulah yang melekat di minda masyarakat. Dalam minda masyarakat, apabila sudah disahkan menghidap kencing manis, suatu hari nanti PASTI AKAN KENA POTONG KAKI.

Ini mitos semata - mata. Tapi ini lah umpan untuk memancing pembeli produk - produk PENIPU diluar sana.

"Pakcik makan ubat semburan herba bawah lidah ni, CONFIRM pakcik tak perlu makan ubat. CONFIRM tak kena potong kaki. CONFIRM buah pinggang tak rosak."

Ayat marketing 'kaya dan berjaya'.

"...tapi kalau ada apa - apa komplikasi, pakcik tanggung sendiri. Ini adalah kehendak Allah. Saya hanya membantu dan kaut untung beratus - ratus Ringgit"

Sebenarnya, komplikasi kencing manis dapat dikurangkan atau diperlahankan dengan kawalan gula yang baik - optimum glycemic control. Tiada short cut di sini. Jika hendak sihat, perlu korbankan teh tarik tiga kali sehari dan nasi lemak sambal-lebih-telur-goreng-tambah-ayam-goreng. Ubat kena makan dengan betul beserta seliaan dan pantaun petugas kesihatan.

Dalam iklan diatas, dibuat cerita bukan - bukan;

Makan roti jagung setiap hari
Lepas makan ubat badan jadi kurus kering
Tak bermaya

Paras gula yang terlampau tinggi pun boleh jadi begitu.
Pernah tak tengok apa yang berlaku terhadap siput babi yang ditabur dengan garam?


Bayangkan badan siput sebagai sel badan manusia, manakala garam adalah gula di dalam darah. Apabila terlalu pekat, air dalam sel akan keluar dan menyebabkan sel kekurang air. Itulah sebabnya, pesakit yang mempunyai gula terlalu tinggi akan cepat dahaga. Lama kelamaan, badan akan jadi lemah. Badan menjadi susut. Jadi, ia bukan disebabkan ubat. Tapi kandungan gula yang sampai 30 mmol/l yang memburukkan keadaan.

Dari segi pemakanan pula, perawat bukan mahu menyeksa pesakit dengan hanya makan roti kosong. Cuma, kadar pengambilan karbohidrat perlu dicatu betul betul. Yang penting, pengambilan nutrien perlu seimbang.

3. BUAH PINGGANG ROSAK BILA MAKAN UBAT

Saya selalu ditanya soalan begini setiap kali saya ingin memulakan ubat baru kepada pesakit. 

"Makan ubat kencing manis semua ni, tak rosak buah pinngang ke doktor? Ada kenalan saya cakap macam tu."

Saya akan tanya balik. 

"Kenalan yang buah pinggang nya rosak tu, macam mana orangnya? Adakah dia jenis ikut arahan ubat yang perlu diambil atau acuh tak acuh sahaja?"

Biasanya, kenalan adalah jenis orang yang tak ikut nasihat doktor. Makan tak jaga. Beli makanan tambahan sana sini. Silap haribulan, bukan ubat doktor dan kencing manis yang menyebabkan buah pinggang rosak, tetapi BAHAN TERLARANG yang terdapat dalam pil herba.

Ingat, dengan kawalan gula yang optimum pesakit akan menjalani hidup seperti biasa. Tiada yang akan menghalang rutin harian pesakit. 

************************************** 
Pesanan untuk pembaca - pembaca yang mempunyai ibu bapa yang telah lanjut usia, perhatikan ibu bapa anda. Lihat tanda - tanda gejala kencing manis setiap kali menziarahi mereka.

1. Adakah mereka minum air lebih kerap dari biasa?
2. Adakah mereka kencing dengan kerap?
3. Adakah mereka nampak terlalu kurus walaupun kerap makan? Penurunan berat badan yang mendadak?
4. Ada tak luka yang berminggu tidak sembuh?
5. Perhatikan kaki mereka. Ada tak luka yang nampak teruk, tetapi tiada langsung rasa sakit di bahagian luka tersebut?



Cuba dapatkan nasihat doktor dan buat pemeriksaan kesihatan di klinik yang terdekat. Kadang - kadang ibu bapa tahu ada sesuatu yang tak kena dengan badan mereka, tapi enggan mendapatkan rawatan. Anak - anak perlu memainkan peranan untuk mendesak ibu bapa untuk mendapatkan rawatan. Saya dapati ramai yang dalam keadaan 'denial' walaupun tanda - tanda kencing manis adalah jelas dan nyata. 

Dan akhir sekali, perhatikan tindak tanduk ibu bapa. Pesan awal - awal kepada mereka - 

JANGAN PERCAYAKAN PRODUK PENIPU DIPASARAN. 
Dapatkan nasihat kesihatan dari yang ahli dalam bidang perubatan. 

MOfrust
Pembenci Penipu Kesihatan

You Might Also Like

0 comments

Follow Me on Facebook