Penyakit Misteri Pak Seman

8:42 AM

"Saya tengok mata dia tu tersembul keluar. Sentiasa macam nak marah orang. Takut saya nak dekati dia."

"Kalau tengok cara dia makan, memang bukan manusia. Selera dia kuat, tapi tengok badan dia - kurus kering. Seoalah - olah, dia makan untuk makhluk lain."

"Aku pasti, dia ada bela makhluk halus. Hantu raya yang dia bela tu dah makan diri."

Begitulah bagaimana orang kampung bercakap mengenai Pak Seman. Sudah sekian lama orang Kampung Sungai Lada melihat perubahan diri Pak Seman.

Semuanya bermula, tiga bulan yang lepas. Timbul ruam - ruam merah dirusuk kiri Pak Seman. Ruam yang timbul kelihatan seperti ada satu garisan yang jelas. Mustahil ia disebabkan oleh penyakit biasa. Ruam tersebut seoalah - olah seperti ada benda yang mencakar badan beliau.


Pak Seman selalu kelihatan seperti dalam kesakitan sepanjang satu minggu ruam itu timbul. Lama kelamaan ruam semakin merebak. Asalnya, ruam hanya kelihatan di bahagian dada hadapan, tapi sekian lama ia merebak ke ruang kulit berhampiran tulang belakangnya.




Pak Seman pergi menerima rawatan dari Pak Doyok; bomoh kampung yang amat dipercayai. Pak Seman dikehendaki membawa seekor ayam kampung, pulut kuning dan RM 150 sebagai pengeras. Firasat Pak Doyok menyatakan bahawa Pak Seman telah 'ditegur' Jin dari Bukit Harimau. Jampi serapah dibaca dan ayam kampung menjadi korban untuk 'menyerap' serangan Jin Bukit Harimau. Air liur Pak Doyok dijadikan ubat untuk disapu di atas kulit untuk mengurangkan kesakitan.

Ruam di badan Pak Seman reda setelah beberapa hari disapu dengan air liur Pak Doyok. Amat mujarab air liurnya. Walaubagaimanapun, kesakitan dialaminya masih tidak reda.

Sebulan kemudian, ahli keluarga Pak Seman serta orang kampung, melihat perubahan yang amat ketara dalam dirinya.

Badannya cekung. Kurus kering. Boleh nampak segala lekuk tubuhnya. Segala otot dimukanya tidak kelihatan.
Biji matanya seperti akan tersembul keluar. Sesiapa yang melihat Pak Seman, akan meremang bulu roma.
Badannya sentiasa kelihatan berpeluh. Orang kampung kata, ia disebabkan api dalam badan yang disemarakkan oleh Jin Bukit Harimau.

Berkali - kali Pak Seman berubat kampung. Ribuan Ringgit dihabiskan untuk dijadikan pengeras untuk beberapa orang bomoh. Keadaan nya masih sama. Sehingga lah suatu hari, Pak Seman dibawa jumpa Ustaz Marzuki.

"Tolong Ustaz. Tolong keluarkan Jin dalam badan saya ni. Duit simpanan saya dah habis dipakai untuk mendapatkan rawatan. Orang kampung dah ramai tak mahu mendekati saya. Semua orang takut diganggu Jin ini." Pak Seman mempelawa Ustaz Marzuki.

Setelah berfikir buat seketika dan meneliti keadaan Pak Seman, Ustaz Marzuki memberi jawapan ringkas.

"Saya rasa ini bukan buatan orang, mahupun dirasuk Jin. Pakcik dah ada berjumpa dengan doktor ke? Saya rasa ini melibatkan kesihatan pakcik. Saya bukan pakar dalam bidang perubatan. Lebih baik pakcik jumpa doktor di Klinik Kesihatan Bukit Jelintoh esok."

Keesokan harinya, Pak Seman pergi mendapatkan rawatan di Klinik Bukit Jelintoh.
Apa yang dialami oleh Pak Seman adalah simptom simptom HYPERTHYROIDISM.

1. Exophthalmos: mata kelihatan membonjol

2. Selera makan yang tinggi


3. Penurunan berat badan secara mendadak



Badan Pak Seman telah merembeskan hormon thyroid dengan banyak dan mengakibatkan kawalan metabolisma badan tidak seimbang. Sebab itulah, Pak Seman mengalami simptom seperti dirasuk Jin. Beliau diberi ubat carbimazole untuk mengawal kandungan hormon thyroid dalam badan. Oleh sebab, Pak Seman adalah bekas pegawai kerajaan, segala rawatan yang diterima adalah percuma. Dalam masa sebulan, dengan rawatan susulan dan pengambilan ubat secara tetap, Pak Seman pulih sepenuhnya. Hidupnya kembali normal.

******************************

Kisah diatas adalah berdasarkan kisah benar. Walaubagaimanapun, nama watak dan sebahagian cerita telah ditokok tambah untuk menjadi lebih dramatik. 

Akibat ketaksuban masyarakat kita terhadap perkara mistik, penyakit yang ada rawatan yang murah dan berkesan ditolak ketepi. Rawatan bomoh diutamakan dulu. Semua perkara berkaitan hantu, boleh dipercayai bulat - bulat. Walaupun ada unsur pujaan dan Syirik. Ketaksuban ini ditunggang oleh para bomoh untuk memerah setiap sen wang pesakit. 

Pada awal cerita, Pak Seman hanya mengalami kayap - herpes zoster (shingles). Jangkitan yang disebabkan oleh virus. Bukan Jin Bukit Harimau. Bukan Hantu Raya...dan tiada ular yang akan membunuh jika ruam bersambung. Rawatan awal dengan antiviral dan ubat tahan sakit boleh mengelakkan kesan sakit jangka panjang (chronic pain). 

Dengan jarak masa sebulan, penyakit kayap yang dialami, TIADA KAITAN dengan penyakit HYPERTHYROIDISM. Nasib menyebelahi Pak Seman kerana menemui ustaz yang waras dan memahami bidang kepakarannya. Jika tidak, keadaan Pak Seman akan makin teruk dan orang kampung akan terus memfitnah Pak Seman membela Jin Bukit Harimau.

MOfrust

You Might Also Like

0 comments

Follow Me on Facebook