ONCALL DI AMBANG MERDEKA - Dr Abdul Rahman

6:25 PM

ONCALL DI AMBANG MERDEKA

Loceng kecemasan berbunyi lagi. Ini kali ke 4 ia berbunyi untuk malam ini. Sememangnya malam ini kesibukan yang melampau. Esok adalah hari Merdeka. Jadi akan ada sambutan di mana - mana dan pesta di sana sini. Ini lumrah setiap malam 30 Ogos. Doktor Firdaus sudah lali dengan senario ini. Tahun lepas pun dia oncall pada malam Merdeka.

Image from The Star
Apabila esoknya adalah cuti umum, mat-mat rempit akan turut berpesta di jalan raya. Ini peluang untuk mereka memerdekakan nyawa mereka dari kehidupan duniawi dan memecut ke alam barzakh. Sudah semestinya tidak sesekali akan dipersia-siakan.

Fail zon hijau semakin tersusun bertingkat - tingkat. Bila flip dan lihat, kes - kes nya adalah seperti demam (baru sehari), ulser mulut, sakit gigi, batuk selsema, sakit kepala dan sebagainya.

"Takpe lah...teruskanlah saja melihat kes2 ni. Kalau lambat nanti kena viral dan maki kat Facebook," bisik hati kecil Doktor Firdaus.

Lalu masuklah pesakit seterusnya. Doktor Firdaus bertanya,
"Sakit apa pakcik?"
Secara tiba - tiba dijawab,

"Awak kan doktor, awak la kasitau saya sakit apa. Check la."

Firdaus memejamkan matanya. Ini adalah respond yang amat biasa yang diterimanya.
Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia menjawab, "Saya doktor pakcik. Bukan bomoh. Kalau bomoh, pakcik pijak tangga je pun dia dah kata dia tau apa niat pakcik."



Jawapan loyar buruk seperti itu sudah pasti akan menimbulkan masalah. Lalu Firdaus meminggirkan perasaan marahnya itu sambil memujuk diri, "Ini salah ko Firdaus. Ko silap tanya soalan. Lepas ni tanya apa masalah pesakit. Itu lebih bagus."

Loceng kecemasan berbunyi lagi. Dari jururawat, Firdaus mendapat tahu bahawa terdapat kes - kes trauma jalan raya akibat lumba haram yang dirawat di zon merah. Firdaus sedih. Alangkah baiknya jika dia bekerja di zon merah. Sekurang - kurangnya, kes - kes tersebut benar - benar kes kecemasan dan bukan kes main - main dan kaki MC yang terpaksa dilihatnya di zon hijau. Dia menghirup kopi pekat yang dibelinya agar terus memberinya kesegaran mengharung malam yang panjang.

Masuklah pesakit seterusnya. Kali ini Firdaus berazam menukar cara bertanya soalan. Dia sudah serik diperbodoh - bodohkan pesakit yang terover bijak.

Firdaus bertanya, "Silakan duduk. Apa masalah makcik?"
Lalu jawapan yang diterima adalah,

"Makcik ni dah lama ada masalah kewangan. Rumahtangga pun bermasalah. Anak2 pun tak habis2 timbulkan masalah. Masalah2 ni semua...bla bla bla."

Adoi! Melalut entah ke mana - mana pulak makcik ni. Bila tanya soalan spesifik, dapat jawapan loyar buruk. Tanya soalan umum, dapat jawapan yang tawaf satu dunia.

"Tak makcik. Maksud saya, apa tujuan makcik datang hospital hari ni," kata Firdaus dengan wajah yg mengharapkan sedikit pengertian.

"Sakit le. Ko ingat datang spital suka - suka. Apa punya soalan ko tanya ni doktor?" seloroh makcik tu sambil ketawa mengekek - ngekek disertai sama oleh anaknya.

Dalam pada Firdaus sedang memujuk hatinya supaya sabar, tiba - tiba datang jururawat Salina yang berkata, "Doc Firdaus, khidmat doc diperlukan di zon kuning (semi kritikal).

"Mana Doktor Bhuvan? Dia sepatutnya di yellow zone," kata Firdaus kehairanan.

"Resus busy sangat doc. Doc Bhuvan dah masuk ke zon merah untuk bantu. Banyak sangat kes trauma di sana!" Kata Staff Nurse Salina sambil berlalu pergi.

Firdaus segera menghabiskan sesi konsultasi pesakit yang sedang dirawatnya dan terus bergegas ke zon kuning. Mak ai! Seperti tongkang pecah keadaannya di zon kuning. Segera Firdaus melihat kes - kes pending yang belum dilihat di kaunter. Firdaus memulakan rawatan untuk pesakit - pesakit tersebut.

Tiba - tiba, meluru masuk seorang lelaki sambil mendokong seorang remaja perempuan. Remaja perempuan itu kelihatan terkulai dan lemah. Lelaki itu adalah abang perempuan tersebut. Ada wanita berusia yang menangis yang ikut sama. Wanita tersebut adalah ibu gadis tersebut.

Firdaus bertanya apa yang telah berlaku dan serta merta dia mendapat jawapan yang dia mahukan, tidak seperti jawapan loyar buruk di zon hijau. Itulah sebabnya, Firdaus lebih suka bekerja di zon merah dan kuning berbanding zon hijau. Zon hijau adalah tempat paling tinggi penyalahgunaan khidmat kecemasan oleh rakyat Malaysia. Muka jerawat pun mai zon hijau. Panau kat punggong pun mai zon hijau. Mimpi ngeri pun mai zon hijau. Sampai kadang - kadang Firdaus nak muntah hijau dibuatnya.

Makcik tersebut berkata, anaknya telah mengunci pintu bilik dan menelan 100 biji Panadol.

Ini adalah merupakan satu kes kecemasan yang signifikan. Firdaus segera bertanya jam berapa ditelan, adakah ditelah sekaligus atau secara berkala serta soalan - soalan relevan yang lain. Gadis tersebut hanya memejamkan mata dan tidak mahu menjawab soalan. Bila ditanya apakah dia menelan panadol sebanyak itu, dia hanya mengangguk lemah sambil air matanya mengalir di penjuru mata.

Firdaus segera memberikan rawatan dan menyegerakan ujian - ujian darah. Jika benar kes keracunan ini, nyawa gadis tersebut dalam bahaya kerana risiko berlakunya kerosakan hati amatlah tinggi. Firdaus segera menelefon makmal meminta ujian paracetamol level dilakukan segera bagi pesakit ini. Gadis tersebut telah menelan panadol tersebut 6 jam yang lepas dan sudah semestinya keputusan darah akan menunjukkan result yang signifikan. Firdaus sudah siap sedia bertindak menyelamatkan nyawa pesakit.

2 jam dia menguruskan pesakit tersebut sambil menguruskan pesakit - pesakit lain yang turut tiba tanpa henti. Telefon berdering dan panggilannya adalah untuk Firdaus. Ia adalah panggilan dari juruteknologi makmal perubatan yang ingin memaklumkan keputusan darah pesakit yang overdose panadol tersebut.

"Hello doc. Saya Lim dari lab," kata pemanggil.
"Yes Lim, teruskan. Berapa result paracetamol level pesakit tu?" tanya Firdaus dengan bersungguh - sungguh. Beriya - riya dia memujuk Lim mendahulukan ujian darah pesakit ini. Lim sangat keberatan pada mulanya memandangkan banyak lagi ujian darah seluruh hospital yang akan tergendala kerana ujian pesakit ini. Namun Firdaus berjaya memujuk dan Lim akhirnya mengalah.

"Doc. Result sudah ready. Serum Paracetamol level dia adalah ZERO! ZERO doc"

kata Lim dan terus meletakkan telefon. Dari suara Lim kedengaran nada bengangnya.

Firdaus meletakkan gagang telefon perlahan - lahan. Dia sedar dirinya sudah kena kencing. Level paracetamol zero bermaksud pesakit ni langsung TAK TELAN PANADOL. Kalau 100 biji yang ditelan seperti yang dikatakan, levelnya pasti sudah beribu - ribu. Hati Firdaus pedih. Dia telah membazirkan masanya dan juga melewatkan keputusan darah pesakit lain dek kerana pesakit penipu nan seorang ini.

Firdaus merapati pesakit dan keluarga tersebut. Dia pun memberitahu keputusan darah pesakit yang normal. Secara ajaib dia melihat pesakit tersebut membuka mata dan segar. Mati - mati masih mengaku menelan panadol. Ayah pesakit berkata, mungkin air Yaasin yang diberinya pada pesakit telah menjadi penawar racun panadol yg dimakan anaknya. Kelihatan mereka bergembira dan gadis tersebut turut ketawa dan memeluk ibubapanya. Alasan 'menelan' panadol adalah kerana berselisih faham dengan ibubapanya dan kini konflik itu telah selesai.

Firdaus menyaksikan keajaiban perubatan untuk kesekian kalinya. 100 panadol 'ditelan' yang secara ajaibnya telah hilang dari plasma darah.

Sedang Firdaus mula menerima hakikat bahawa dirinya kena kencing hidup - hidup, tiba - tiba seorang lagi pesakit wanita dibawa masuk. Dia pengsan dan tidak sedarkan diri setelah bergaduh dengan teman lelakinya.

Firdaus sudah biasa melihat drama seperti ini. Doktor - doktor muda mula merawat dan memasang jarum. Ujian glucose dilakukan dan pemeriksaan dilakukan. Sedikitpun pesakit tidak bergerak sepanjang proses ini. Ammonium salt diletakkan untuk dihidu pesakit. Baunya tengiknya ammonium tu, kalau lembu tengah koma pun akan bangun. Namun pesakit ini langsung tidak bergerak. Firdaus sedang berkira - kira langkah seterusnya yang perlu diambilnya untuk merawat.

Tiba - tiba masuk seorang lelaki muda yang memperkenalkan diri sebagai teman lelaki wanita tersebut. Dengan hanya satu jarinya mengelus pipi wanita tersebut, mata pesakit terus terbuka perlahan - lahan secara ajaib. Oh! Sungguh cinta itu amat berkuasa seperti kata - kata Shah Rukh Khan dalam cerita Mohabbatein.

"Bro, thanks cover aku tadi. You can go back to green zone," kata Bhuvan yang kelihatan letih setelah bertungkus lumus membantu di zon merah.

Firdaus sedih. Dia kini boleh meninggalkan para pelakon - pelakon handalan di zon kuning dan kembali melihat kes - kes zon hijau. Ia ibarat keluar dari mulut rimau dan masuk ke dalam mulut buaya. Dengan berat dia melangkah. Sekurang - kurangnya di zon kuning, dia sempat juga merawat orang yang patah kaki, stroke, pesakit psikotik dan juga pesakit pneumonia. Berbaloi jugak lah stay 3 jam di sana.

Dia ternampak seorang lelaki sedang bising - bising di depan bilik rawatan zon hijau.
"Berapa lama lagi nak tunggu? Ni jabatan kecemasan ke jabatan nak kasi mampus orang?" bentak lelaki tersebut dengan garang kepada jururawat yang menjaga zon hijau.

Firdaus segera mencelah sambil memberikan penjelasan, "Maaf pakcik. Jabatan kecemasan sibuk sangat tadi dengan kes - kes kemalangan. Kami mengutamakan kes - kes kritikal."

"Habistu? Kes anak aku ni tak kritikal? Berapa lama nak tunggu? Dah 4 jam dah kami tersadai di  spital ni. Kalau tau macam ni, baik gi private. Saya akan viralkan kes ni" 

kata lelaki tersebut sambil segera mengeluarkan handphonenya.

"Tak perlu macam tu pakcik. Saya lihat anak pakcik sekarang. Dia sakit apa sebenarnya?" Soal Firdaus.

Lelaki tersebut menjawab, "Anak saya kena jangkitan kutu rambut di tadika."



Inilah senario di zon mak kau hijau di jabatan kecemasan hospital antah berantah di malam merdeka.

Salam Kemerdekaan yang ke 59 tahun buat semua. Kita semakin menuju taraf negara maju, namun mentaliti rakyat yang menyalahgunakan jabatan kecemasan masih di taraf dunia ke 3.


DR ABDUL RAHMAN ABDUL KADIR
Pakar Kecemasan Dan Trauma
Medical Mythbusters Malaysia

Cerita ini boleh juga dicapai di Facebook Page Medical Mythbusters Malaysia

You Might Also Like

3 comments

  1. I feel u.. hahaha.bertabah lah wahai doktor2 sekalian..mentaliti Malaysians masih d kelas ketiga..

    ReplyDelete
  2. Seriusly kelakar! Bersabarlah doctor,

    ReplyDelete

Follow Me on Facebook