Kisah Seram: Wad 2A Medical

8:54 AM


Tingkat 2. Wad 2A medical.

Medical adalah posting kedua ku semasa housemanship. Aku baru seminggu tagging dan telah diletakkan untuk cover wad 2A. Wad 2A menempatkan pesakit lelaki yang menghidap penyakit seperti serangan jantung (acute coronary syndrome), pneumonia dan berbagai penyakit dalam bidang internal medicine. 

Wad 2A menempatkan hampir 30 orang pesakit dalam satu - satu masa. Turnover rate sangat pantas. Pesakit akan keluar masuk dalam masa satu hingga tiga hari. Hampir setiap hari akan ada sekurang - kurangnya satu kematian di wad. Walaubagaimanapun terdapat juga beberapa pesakit yang akan tinggal bermingu - minggu di dalam wad.

Di dalam wad 2A terdapat dua bilik single room, di mana hanya seorang pesakit yang akan duduk di dalam bilik tersebut. Salah satu bilik single room tersebut, amat jarang pesakit akan ditempatkan di situ. Pada mulanya, aku tidak rasa ada apa - apa yang pelik, tetapi pada satu hari ketika morning review, aku ditugaskan untuk memeriksa dan menilai keadaan pesakit di bilik tersebut.

Pakcik Abu dimasukkan pada hari sebelumnya kerana menghidap pneumonia. Dia telah diletakkan di single room tersebut berseorangan. Tiada waris menemani beliau. Di dalam bilik tersebut terdapat sebuah single seat sofa. Kedudukannya betul - betul menghadap katil pakcik Abu.

Sebaik memasuki bilik tersebut, aku dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Bulu roma ku tiba - tiba meremang. Jam menunjukkan pukul 630 pagi. Pakcik Abu, nampak begitu kepenatan. Seperti semalaman tidak tidur. Tekanan darahnya sedikit tinggi. Vital signs lain, terutamanya kadar oxygen (SpO2) adalah normal. Aku pun bertanya khabar kepada pakcik Abu. Walaubagaimanapun, sebelum sempat aku menghabiskan ayat, pakcik Abu telah bertanya;
"Bila saya boleh balik ni doktor?. Saya tak tahan duduk sini."

"Kenapa pakcik?" aku tanya kembali.

"Saya tak boleh duduk sini la doktor. Saya nak balik juga."

"Saya tak pasti lagi. Kena tunggu doktor pakar datang beri keputusan nanti" jawab ku kepadanya.

"Tolong la doktor. 'BENDA' tu dari malam tadi duduk dekat sofa tu pandang saya. Pukul 2 pagi tadi dia panjat dekat dengan kipas kat atas tu!" kata Pakcik Abu sambil menunjukkan kepada ku kedudukan BENDA itu bertenggek.

Gambar sekadar hiasan

Memang aku dapat rasakan sesuatu pada ketika itu. Kedudukan sofa itu, memang nampak betul - betul menghadap katil Pakcik Abu, seperti ada orang yang duduk dan memandang ke arah katilnya. Aku pun dapat rasakan seperti sedang diperhatikan.

Aku terus senyap dan cepat - cepat membawa nota pesakit (BHT) keluar dan menulis review ku sambil berdiri di luar. Berdegup - degup jantungku ketika itu.

Aku tak dapat mengikuti ward round pada pagi tersebut kerana ditugaskan untuk trace keputusan darah yang urgent. Aku cuba tanyakan kepada rakan setugas mengenai progress Pakcik Abu. Rupa - rupanya, Pakcik Abu bertegas dengan pakar perubatan untuk keluar (discharge). Pakcik Abu menandatangani borang At Own Risk Discharge untuk keluar dari wad.

Setelah habis segala tugasan wad pada hari tersebut, aku sempat bertanya kepada senior staff nurse mengenai bilik single tersebut.

"Bilik tu memang ada penunggu doktor. Ramai dah pesakit yang tak tahan duduk dalam tu. Lepas satu malam mesti minta discharge atau minta di tukar ke wad lain."

*Kisah ini adalah berdasarkan kisah benar di wad. Walaubagaimanapun, tempat asal dan nama telah diubah. Terdapat juga tokok tambah untuk memberi lebih drama kepada kisah seram ini.

Follow MOfrust on Facebook












Sister sites:

The Makan Doctor

My Financial Discovery




You Might Also Like

0 comments

Follow Me on Facebook